Tuesday, 28 August 2012

Anda telah menyertai Pertandingan Syarahan sempena Minggu Bahasa Melayu yang berlangsung disekolah anda. Anda dikehendaki menyampaikan syarahan yang berkaitan dengan Kes Penderaan Kanak-Kanak. Sediakan teks ceramah anda itu selengkapnya.

Salam perpaduan dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan pengerusi majlis, Yang berusaha, Tuan Pengetua Zulkarnain Farihin Abdullah, barisan panel hakim yang berpegang teguh kepada panji-panji keadilan, tuan-tuan dan puan-puan serta siding hadirin yang saya muliakan. Pada hari yang berbahagia ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Penderaan Kanak-Kanak”.

Hadirin yg saya muliakan,

Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Mereka juga sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai keg penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yg telah disiarkan di dalam akhbar dan berita di televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kpd mangsa.

Hadirin yg saya sanjungi,

Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yg masih kecil memang stika merengek kerana mereka perlukan perhatian drpd ibu bapa. Tindakan ibu bapa yg melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakan yg tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok, atau sebagainya. Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu.

Faktor lain yg menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yg melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yg masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongan daripada Allah supaya hati kita lebih tenang.

Hadirin-hadirat sekalian,

Ada juga antara ibu bapa yg mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin d isebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.


Selain itu  faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.

Hadirin yg saya hormati,

Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen [Keluarga Bahagia] bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggung jawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yg bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang disamping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.

Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yg lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yg mendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yg bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.

Pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka akan lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.

Hadirin berjiwa wawasan,

Konklusinya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Oleh kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yg sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggung jawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yg akan kita dapat di akhirat nanti.

Sekian, terima kasih.

Soalan Karangan



Pengambilan orang gaji asing telah menjadi suatu budaya dalam kalangan rakyat Malaysia. Bincangkan masalah yang timbul akibat pengambilan orang gaji asing bekerja di Negara kita dan usaha-usaha untuk mengatasinya.

Dalam keghairahan kita merealisasikan pelbagai visi kudsi negara seperti Wawasan 2010, 1 Malaysia dan Model Ekonomi Baru, kita harus peka dengan persekitaran sosial yang berlaku di sekeliling kita. Salah satu daripadanya ialah isu pengambilan orang gaji asing. Secara literalnya, orang gaji asing didefinisikan sebagai orang yang bukan warganegara diambil berkerja sebagai pembantu rumah di negara kita. Nampaknya, hari demi hari kit akan berhadapan dengan pelbagai fenomena sama ada baik atu buruk berkaitan dengan pengambilan orang gaji asing ini. Oleh itu, masalah-masalah yang timbul dan usaha-usaha untuk mengatasi masalah ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Sudah terang lagi bersuluh, masalah utama yang wujud ialah penderaan ke atas orang gaji asing semakin membimbangkan. Penderaan tersebut biasanya dilakukan oleh majikan. Majikan cenderung untuk mendera orang gaji mereka disebabkan oleh pelbagai faktor seperti tekanan hidup ataupun sikap cuai orang gaji asing yang bekerja dengan mereka. Pada kebiasaannya, penderaan yang dilakukan ke atas orang gaji adalah dengan menyimbah badan mereka dengan air panas, tidak memberi mereka makan, membiarkan mereka bekerja tanpa berehat dan sebagainya. Akibatnya, banyak orang gaji yang melarikan diri kerana tidak tahan didera oleh majikan mereka. Jelaslah bahawa penderaan ke atas orang gaji merupakan masalah yang wajar diberikan perhatian oleh pelbagai pihak.

Sudah jelas lagi nyata, masalah perdana yang perlu diteliti ialah hubungan diplomatik antara dua negara boleh terjejas. Pemimpin di negara asal orang gaji tersebut biasanya menyalahkan kerajaan negara kita setiap kali berlakunya kes penderaan ke atas orang gaji yang berasal daripada negara mereka. Hal ini demikian, kerana mereka terpengaruh dengan laporan berat sebelah yang disiarkan oleh media massa. Kenyataan yang berupa kritikan dan kadang kala amaran boleh menimbulkan perbalahan jika tidak ditangani dengan bijaksana. Akibatnya, penghantaran orang gaji asing ke negara kita mungkin akan diberhentikan. Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah kepada kita bahawa pengambilan orang gaji asing boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara negara yang terbabit.

Seterusnya, masalah lain yang tidak kurang pentingnya ialah pengambilan orang gaji asing memerlukan kos yang tinggi. Kos yang tinggi diperlukan untuk membiayai pelbagai urusan dengan syarikat yang menguruskan pengambilan orang gaji asing. Hal ini demikian kerana kebanyakan syarikat mengenakan pelbagai caj tertentu yang mencecah ribuan ringgit kepada kita. Perkara ini menyebabkan majikan mudah panas hati apabila mereka diberikan orang gaji yang tidak tahu bekerja dan sentiasa menyusahkan mereka. Sebagai contohnya, majikan terpaksa membayar sejumlah RM5000 hingga RM7000 bagi mendapatkan khidmat seorang pembantu rumah dari Indonesia. Tuntasnya, kos yang tinggi merupakan satu lagi masalah yang wujud ekoran pengambilan orang gaji asing.

Masalah ini wajar ditangani segera. Di samping itu, usaha mengatasi yang tidak boleh dikesampingkan ialah menggalakkan rakyat tempatan bekerja sebagai pembantu rumah. Pada masa ini, rakyat tempatan tidak suka menjadi pembantu rumah. Hal ini demikian kerana kerjaya ini dianggap kerjaya yang tidak glamour dan bergaji rendah. Jadi, kerajaan haruslah memikirkan cara-cara yang lebih sistematik dan pragmatik untuk menarik minat rakyat tempatan untuk menceburi kerjaya ini. Sebagai contohnya, gaji pembantu rumah boleh dinaikkan sehingga RM800.00 sebulan. Dalam hal ini dapatlah dirumuskan bahawa sekiranya rakyat tempatan berminat menjadi pembantu rumah masalah yang melibatkan orang gaji asing sedikit sebanyak dapat dikurangkan.

Selanjutnya, kita juga perlu melihat perkara ini dari aspek penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi orang gaji asing daripada dianiaya dan didera oleh majikan. Sesetengah majikan bertindak kejam dengan melakukan penderaan ke atas pembantu rumah sehingga ada yang cedera parah. Hal ini berlaku disebabkan pelbagai faktor sama ada berpunca daripada majikan mahupun pembantu rumah itu sendiri. Sebagai contohnya, ada pembantu rumah yang disimbah dengan air panas, dicucuh dengan puntung rokok, ditekap dengan sterika, dipaksa bekerja tanpa rehat dan sebagainya. Tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ini menyebabkan pembantu rumah asing takut untuk datang bekerja di Malaysia. Jadi, penguatkuasaan undang-undang akan menjadikan nasib orang gaji asing lebih terbela di negara kita.

Berdasarkan segala huraian di atas, jelaslah kepada kita bahawa pengambilan orang gaji asing bekerja di negara kita memang ada pro dan kontranya. Sama ada kita sedar atau tidak, kita terlalu bergantung kepada orang gaji asing untuk menguruskan kehidupan kita sehari-hari. Dengan itu, masyarakat harus berkesedaran bahawa kebahagiaan dan keutuhan sesebuah institusi kekeluargaan bertungangkan pengorbanan mereka terhadap keluarga mereka sendiri. Kita tidak mahu lambakan orang gaji asing yang bekerja di negara kita menimbulkan pelbagai masalah sosial. Insya-Allah, berkat doa dan usaha yang berterusan segala yang dicita-citakan akan menjadi kenyataan.